Quantcast
Channel: ::Lihatlah Kebenaran Dengan Mata Hatimu::
Viewing all 97 articles
Browse latest View live

Menjejak Khazanah Dalam 'Gua' Ramadhan

$
0
0

Saya terkenangkan Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam al-Banjari memberikan analogi menarik tentang mentaliti sebelum Ramadhan. Huraian tersebut diketengahkan beliau ketika mensyarahkan kitab Sairus Salikin (karangan Syeikh Abdul Samad Falimbani), pada tahun 2009 (Masjid USJ 9 Subang) kira-kira bermaksud:


"Memasuki Ramadhan umpama kita memasuki gua yang penuh dengan harta. Bayangkan kita berada dalam satu pertandingan untuk masuk ke dalam gua tersebut dan mendapatkan apa sahaja yang dijumpai dan dimiliki sepenuhnya tanpa bayaran. Akan tetapi, masa yang diberi amat terhad.
Pertandingan telah dimulakan. Ada yang mengetahui batu zamrud dan permata tanpa ragu-ragu mengambilnya. Ada pula yang membuang masa baru hendak bertanya, adakah itu berlian ataupun kaca. Apatah lagi orang yang masuk tidak tahu apa-apa mengapa ia masuk, maka tidak ada apa-apa yang diperolehinya."
Kitab Sairus Salikin, Jilid 1, versi Jawi
Beliau menyambung:
 

"Begitulah kita menjelang bulan Ramadhan. Bulan berkat tersebut mengandungi banyak rahsia dan ganjaran yang berharga. Beruntunglah kepada sesiapa yang mengetahui nilaian harta tersebut. Oleh yang demikian, TUNTUTLAH ILMU tentang Ramadhan SEBELUM memasuki bulan mulia tersebut."
   
Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.

Kenang-kenangan kami bersama Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam
(5 dari kanan) beserta dengan beliau, Syeikh Yusuf Bakhour,
Mufti Besar Kanada (dan merangkap Khalifah Thoriqah 
Syaziliah  sedunia, 6 dari kanan),  diikuti oleh Syeikh Baba Aziz
dan Syeikh Rohimuddin al-Banteni di Ba'alawi KL, 2009
~Semoga Allah merahmati mereka~
Kitab ini merupakan kitab paling tinggi di Nusantara ini dalam konteks kerangka perbahasan karya Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Kitab ini ditulis 200 tahun yang lepas. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga menulis Hidayatus Salikin(Hidayah Bagi Orang yang Berjalan). Syeikh merupakan seorang ulama yang menabur jasanya kepada umat. Berbekalkan dengan keberkatan ilmu yang dibawanya, beliau telah berdakwah di serata Nusantara, sebagaimana ulama-ulama lain. Beliau juga merupakan seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah. Pendapat mengatakan bahawa beliau telah syahid ketika mempertahankan Patani daripada serangan tentera Siam pada suatu masa dahulu. Kitab ini merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk kita semua. Ajarannya masih segar dan relevan, walaupun setelah 200 tahun kewafatannya. 

Moga ada manfaatnya pertemuan kali ini. 


Selamat berlatih untuk mendepani Ramadhan al-Mubarak!



Jumaat: Hari Raya Mingguan!

$
0
0
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui." (Surah al-Jumu'ah, 62:10)

Hari Jumaat merupakan Sayyidul Ayyam, iaitu penghulu segala hari. Pada hari Jumaat ini dikurniakan dengan pelbagai keberkatan dan kelebihan buat umat Islam khususnya. Istimewanya Hari Jumaat ini, sehinggakan Imam al-Ghazali mengungkapkan hari tersebut sebagai hari raya bagi umat Islam kerana akan kemuliaannya.


Syeikh Abdus Samad Falimbani menghuraikan sebanyak 20 adab yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim untuk meraih keberkahan hari tersebut.  Beliau menghuraikan kitab Imam al-Ghazali yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah). Dalam menghuraikan kitab amalan seharian bagi meraih taqwa zahir dan batin, iaitu Bidayatul Hidayah, Imam al-Ghazali mengungkapkan hari Jumaat sebagai:
"Ketahuilah olehmu bahawa hari Jumaat itu adalah Hari Raya bagi orang Islam. Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah S.W.T kepada umat (Nabi) Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa. Tiada membetuli akan saat itu oleh seseorang yang mukmin dengan doanya kecuali Allah akan memberi apa sahaja yang ia minta. Maka bersiaplah engkau menghadapi Hari Jumaat itu mulai dari petang hari Khamis lagi." (Bidayatul Hidayah, m/s 100)
Mungkin pada pandangan mata kita sebagai orang awam, hari Jumaat ini adalah yang lain daripada hari lain, kerana semata-mata perlu untuk menghadiri solat Jumaat dan mendengarkan khutbah. Terkadang, ada yang datang pada waktu azan dilaungkan. Ada juga yang tiba 'tepat pada masa' semasa akhir khutbah dan menunggu saat-saat solat Jumaat secara berjemaah. 


Kehadiran saya di kuliah kitab Hidayatus Salikin mendengar kupasan daripada Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam sekitar tahun 2009 telah memberi perspektif baru, bahawa betapa sunnah dalam penghayatan Hari Jumaat selama ini telah terabai buat sekian lama. Ya, kita sibuk dengan kerja seharian, sekolah, mahupun ke kuliah universiti, sehinggakan kita tidak merasakan betapa istimewanya pada hari tersebut. Bahkan, pada hakikatnya, keseluruhan hari Jumaat tersebut (bermula petang Khamis sehingga petang Jumaat) mengandungi keberkahan yang tiada tandingnya. Puas saya mencari nota syarah kuliah tersebut, tetapi belum menemuinya untuk dikongsi bersama. Tidak mampu berkongsi semua, memadailah sekelumit sahaja...
 Mari kita mulakan amalan Hari (dan malamnya) Jumaat sedikit demi sedikit:

1. Membaca Surah Kahfi 

"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya diterangkan baginya daripada nur barang yang antara dua Jumaat itu." (Hadith Riawat Hakim dan Baihaqi, m/s 122)

2. Membanyakkan Selawat

Dalam adab ke-15, Syeikh Abdus Samad Falimbani menyarankan untuk berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w pada malam atau hari Jumaat:

"Sayugianya engkau banyakkan membaca selawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat itu amat banyak. Dan sesetengah daripada kelebihan membaca selawat itu sabda Nabi s.a.w:
'Barangsiapa membaca selawat atasku di dalam hari Jumaat 80 kali nescaya mengampuni Allah Ta'ala baginya akan dosa 80 tahun.' (Hadith Riwayat Daruqutni)" 

Dalam kitab Fadhilat Selawat oleh Muhadith Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani disebutkan hadith:


2.1 Daripada Aus bin Aus r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan (Nabi) Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku. 
Para sahabat bertanya, 'Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepada kamu, sedangkan kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai binasa dimamah tanah.'
Maka baginda s.a.w bersabda, 'Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.' " (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah)
Hadith yang lebih kurang sama daripada Abi Darda' juga dalam kitab tersebut. Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar juga menyebut kelebihan membanyakkan selawat atas baginda Nabi s.a.w pada hari Jumaat. Syeikh Abdus Samad Falimbani juga menyebut agar membanyakkan tasbih dan istighfar bermula pada petang Khamis, kerana waktu tersebut sudah menyamai kelebihan pada Hari Jumaat.


Jika terdapat majlis zikir, selawat ataupun seumpamanya pada malam Jumaat, hadirlah ke majlis tersebut. Insya-Allah mendapat berkat daripada amalan-amalan tersebut. Alhamdulillah, saya diberikan nikmat untuk menghadiri Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching secara rutin pada malam Jumaat.

Dalam majlis tersebut, dibacakan surah Yaasiin, susunan wirid Ratib al-Attas, doa-doa, himpunan selawat para ulama muktabar, Asma'ul Husna serta mengalunkan qosidah dan maulid indah berzikir kepada Allah dan berselawat atas Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.  Majlis tersebut dipimpin oleh mudir madrasah, Habib Mohammad bin Alwi al-Attas. Bacaan tersebut terhimpun dalam kitab Kitab 'Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah' yang disusun oleh beliau.




2. Datang Awal ke Masjid dan Beriktikaf

Sabda Nabi Muhammad s.a.w: 

"Barangsiapa pergi ke masjid kerana sembahyang Jumaat pada saat yang pertama maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor unta. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor lembu. Dan barangsiapa pergi pada saat yang ketiga maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor kambing biri-biri yang bertanduk. Dan barangsiapa pergi pada saat yang keempat seolah-olah ia memberi hadiah seekor ayam. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kelima maka seolah-olah memberi hadiah satu telur. Maka apabila keluar imam maka dilipat suratan dan diangkat akan qalam dan berhimpun segala malaikat pada sisi mimbar pada hal  mendengar mereka itu akan zikir (khutbah)." (Hadith Mutafaq 'Alaih, m/s 120)

Saya terimbau, bahawa Syeikh Fahmi Zam Zam mengatakan 'saat' yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin bermaksud jam. Jika dihitung sejak subuh sehinggalah waktu zuhur pada hari tersebut, maka jaraknya dalam lebih kurang 6 jam. Barangsiapa yang datang awal untuk tujuan solat Jumaat, maka pahala diperoleh berdasarkan kadar pahala korban yang dimaksudkan dalam hadith tersebut. Syeikh Abdus Samad menghurai panjang tentang adab dan amalan ketika di dalam masjid.

Persoalannya, masakini, mungkin atas kesibukan memenuhi keperluan kerja, persekolahan atau aktiviti seharian terkadang mendesak menyebabkan kita lewat untuk tiba di masjid. Dari semasa ke semasa, marilah kita membaiki perancangan untuk Hari Jumaat dengan lebih baik, dengan menghadirkan diri ke masjid seawal yang mungkin.



3. Membaca 4 Surah 7 Kali Usai Solat Jumaat

Dalam adab ke-17 kitab Hidayatus Salikin, Syeikh Abdus Samad Falimbani mengusulkan amalan membaca surah:
al-Fatihah x 7 kali
al-Ikhlas   x 7 kali
al-Falaq   x 7 kali
an-Naas   x 7 kali

sebelum berkata-kata. Saya juga telah mendengar amalan ini daripada Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam satu kuliah pada tahun 2009 dahulu. Beliau mengatakan bahawa amalan tersebut merupakan amalan para ulama sejak zaman-berzaman. Namun demikian, seseorang harus langsung membaca surah al-Fatihah sehinggalah an-Naas sebelum berkata-kata yang lain dan masih duduk sediakala daripada tahiyat akhir. 

Menurut Syeikh Abdus Samad Falimbani, amalan tersebut 'memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu Jumaat kepada Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan bagimu daripada syaitan.'



4. Ada Saat Mustajab Doa Hari Jumaat

 Pada hari Jumaat terdapat masa doa mustajab. Ada pendapat mengatakan daripada Sayyidatina Fatimah az-Zahra' binti Rasulullah s.a.w, bahawa menurut beliau doa mustajab pada hari Jumaat adalah pada waktu Asar sehinggalah maghrib pada hari Jumaat tersebut. Berkata Syeikh Abdus Samad Falimbani dalam Hidayatus Salikin beliau:
"Sayugia membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada:
i. waktu terbit matahariii. waktu gelincir matahariiii. waktu masuk matahariiv. waktu iqamatv. waktu khatib naik ke mimbarvi. ketika beriri manusia kepada sembahyang,kerana segala waktu yang demikian itu sangat diharap akan mustajab."
Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui. Ini adalah pendapat para arifin yang dibukakan mata hati mereka oleh-Nya. Adalah tidak mustahil jika mereka dikurniakan kelebihan mengetahui rahsia-rahsia-Nya seperti saat doa mustajab ini. Tidak layaklah membandingkan diri kita orang awam mutakhir seperti kita ini ini berbanding dengan orang-orang yang mempunyai darjat taqwa yang tinggi di sisi Allah.





Sebagai kesimpulan, memadailah saya mengungkapkan kata-kata Imam al-Ghazali tentang keistimewaan Hari Jumaat dalam kitab Bidayatul Hidayah


"... dan jadikanlah hari ini dalam minggumu sebagai hari yang engkau khususkan bagi akhiratmu. Mudah-mudahan ia menjadi kifarat (penebus) bagi hari-hari yang lain dalam minggu itu."


Wallahu'alam. Mohon pencerahan dan teguran atas segala salah dan silap.




Daripada Habib Mohammad as-Seggaf:







NOTAHidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut Kepada Allah Taala) merupakan sebuah kitab huraian daripada kitab Bidayatul Hidayah (sebuah karangan ringkasan kepada kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam Ghazali).Hidayatus Salikin ditulis oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani. Kitab ini ditulis oleh ulama ini bagi membolehkan masyarakat Nusantara dapat memahami pemikiran Imam Ghazali secara lebih dekat, sejak 200 tahun yang lampau. Kitab ini disunting dan disempurnakan oleh Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki.


NOTA: Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammadsallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.

Ramadhan Kareem 1433H!

$
0
0

 Mengenangkan Ramadhan, saya sering teringatkan memori lama bersama seorang sahabat talaqqi. Sahabat saya ini bernama Anwar Mohamad, seorang teman Kuliah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa, tetapi berlainan jabatan. Hampir setiap malam kami bersama mendengarkan kuliah pengajian agama daripada seorang ulama di Ampang usai solat Tarawih.

Ketika itu Ramadhan baru bermula. Satu perkara yang aku kenang adalah sepanjang perjalanan, ada sahaja perkongsian ilmu daripada beliau. Perjalanan Gombak-Ampang melalui beberapa rumah ibadat agama lain. Kata beliau,

“Lihatlah, inilah satu petunjuk daripada Allah bahawa Islam adalah agama fitrah yang benar.”

“Maksud engkau?”

“Tengoklah kuil-kuil ini tidak pernah pun mereka membuka kuil hampir setiap malam. Tengok, lengang tidak ada orang yang datang.”

Aku menangguk. Sambung beliau, “Inilah kebesaran Allah. Tiba bulan Ramadhan, seluruh dunia serentak menjalankan kepatuhan ibadah kerana Allah dengan berpuasa. Sebulan umat Islam berpuasa menahan lapar dan dahaga. Masjid dan surau menjadi penuh. Umat Islam datang untuk tunaikan solat tarawih pada setiap malam selama sebulan. Ada agama lain yang dapat membuat sebegini?”


Destinasi kian hampir. Anwar memberikan isyarat membelok ke kiri, memasuki Ampang (berhadapan bangunan Flamingo). Di sana terdapat sebuah kuil besar. Ujarku, “Benar kata engkau. Hampir setiap malam kita lalu di sini, aku terperasan kuil ini tiap-tiap malam buka.”


Kami membelok memasuki Ampang. Kata beliau, “Inilah Islam, agama fitrah. Apabila dibelenggu syaitan, hati manusia terbebas, dan mereka kembali kepada fitrah mereka kembali kepada Allah.”

Alhamdulillah, kami tiba di tempatnya. Masjid Taman Tunku Abdul Rahman, Ampang mendengarkan mutiara kata guru kami, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Semoga Allah merahmati beliau dan meneguhkan dakwahnya. Beliaulah yang mentautkan benih-benih mahabbah kepada penghulu segala anbiya, Sayyiduna Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

 Menghadapi Ramadhan al-Mubarak yang menjelang, marilah kita memasang niat agar Ramadhan kali ini kita usahakan sebaik mungkin. Teringatkan kata-kata tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Hj. Khalidi bin Ibrahim pada 13 Julai 2012 yang lepas, beliau melontarkan persoalan. Iaitu, selama kita hidup, berapa kali kita bertemu Ramadhan? Adakah pernah kita merenung, mana satu Ramadhan yang paling bererti kepada ketaqwaan kita? Ayuh, inilah peluang yang perlu kita rebut!

Dalam kitab Qul Hazihi Sabiili (Inilah Jalanku) karangan al-Muhaddith Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang Bab Puasa, beliau menyeru umat Islam agar memanfaatkan segala waktu dalam Ramadhan, tanpa disia-siakan. Kerana setiap waktu dalam bulan yang mulia ini adalah waktu yang amat berharga untuk beribadah. Terlalu banyak ganjaran luar biasa yang harus kita imani dan praktikkan sepanjang bulan Ramadhan. Tidaklah saya di sini untuk mengupasnya dengan panjang lebar.

Sebelum menutup bicara, izinkan saya berkongsi tips-tips untuk kita istiqamah ataupun konsisten dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah pada sepanjang bulan Ramadhan ini. Tips-tips ini telah saya petik daripada status facebook sahabat saya, sdr. Zamri bin Bali, Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak.





3 tips dari Habib Ali al-Jufri untuk terus mengekalkan semangat beribadah sepanjang bulan Ramadan sehigga ke penghujungnya :

1. Bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT setiap malam setiap kali selepas solat dengan penuh pengharapan agar dikurniakan ketaatan dalam beribadah kerana perkara taat adalah pemberian dan kurnia dari Allah SWT. 2. Menjaga Pandangan, pendengaran dan lidah daripada melihat, mendengar dan menyebut perkara-perkara maksiat yang dimurkai oleh Allah SWT. Barangsiapa yang menjaga ketiga-tiga pancaindera ini nescaya hatinya secara tidak langsung turut terjaga dari dirosakkan dan dimasuki oleh amal yang buruk. 3. Berusaha menghadirkan hati dalam sebarang bentuk ibadah. Contohnya ketika membaca al-Quran hati dapat merasakan Allah SWT sedang berbicara dengannya.


Dikongsikan juga 2 tips ibadah yang disampaikan oleh guru kami Habib Izzuddin al-Idrus malam tadi:
Kenang-kenangan... sahabat-sahabat bersama
Habib Izzuddin al-Idrus (tiga dari kiri) setelah program
YADIM & SAF Sarawak
Bersama Masyarakat sempana Isra' & Mi'raj 1433H, Jun 2012
1. Mendirikan solat sunat tasbih 4 rakaat selepas Magrib. Mengapa solat sunat tasbih? kerana solat sunat tasbih boleh mengundang keredhaan Allah SWT. 
2. Memperbanyakkan solat sunat witir sekurang-kurangnya 11 rakaat setiap malam. Mengapa witir? kerana witir merupakan ibadah yang disukai oleh Allah SWT dan ianya menjadi amalan-amalan para ulama dan orang-orang soleh. Ditambahnya lagi bahawasanya para ulama dan orang-orang soleh apabila beribadah mereka memilih untuk mengerjakan ibadah yang disukai Allah tetapi kita lebih suka mengerjakan ibadah berdasarkan apa yang kita suka.
Kita kutip bingkisan ilmu daripada al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll, tentang amalan-amalan pada awal malam Ramadhan. Sila lihat di pautan ini.
Dipetik daripada facebook Lukisan Dakwah Islam
Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik dalam mendekatkan diri kita kepada Allah. Mohon maaf atas segala tersilap kata atau terlebih kata dalam berurusan selama ini.

Wassalam.

::Ihya' Ramadhan Surau al-Jariyah, Pujut 9::

$
0
0


Insya-Allah Surau al-Jariyah, Kpg. Pujut 9 akan mengadakan program Ihya' Ramadhan bagi menghidupkan malam Ramadhan. Program adalah seperti berikut:

Tarikh: 11 Ogos 2012 / 23 Ramadhan 1433H
Tempat: Surau al-Jariyah, Kpg. Pujut 9, Miri
Agenda:
10.00 mlm: Berkumpul
10.30 - 11.00 mlm: Taklimat, Bacaan Ratib al-Attas & Asmaul Husna, Bacaan Hadith
11.00 mlm: Tidur
3.15 - 4.15 pagi : Qiamullail
4.15 - 5.00 pagi : Sahur
5.00 - 6.00 pagi : Solat Subuh, Tazkirah
Bersurai

 

Kami amat mengalu-alukan penyertaan daripada masyarakat setempat. Sila maklumkan terlebih dahulu penyertaan anda bagi memudahkan urusan penyediaan makan & minum sahur. Perhatian, program ini untuk lelaki sahaja.

Bersama kita mengejar rahmat & keampunan-Nya, moga kita bertemu dengan malam Lailatul Qadar, insya-Allah.... amiin....



~Hebahan Majlis Ilmu (Talaqqi dan bersanad) di sekitar Kuching~

$
0
0

Daripada hebahan rakan-rakan melalui laman sosial facebook, mari kita ke taman-taman syurga dengan mengisi hati ruhani ini dengan limpahan berkat ilmu daripada ahlinya. Perhatian, majlis-majlis ilmu ini diadakan di Kuching, Sarawak.

Ahad :
- Pengajian Hadith 40 (Ustaz Mohamad Ismail) Kuliah Dhuha 9 Pagi di Masjid At-Taqwa, Gita.
-Pengajian Tauhid (Ustaz Syed Izzudin, kitab Sulaman Tauhid) Maghrib- Isya di Masjid Taman Hussein.
- Majlis Maulid (Ustaz Syed Mustafa) selepas isya di Rumah beliau (Kpg no 2)
- Pengajian Tasawuf (Ustaz Syed Mohammad Alwi) Maghrib-Isya 

di Masjid at-Taqwa, Gita.

Isnin : 
- Pengajian fiqh (Ustaz Syed Mustafa, Kitab Muqaddimah al-Hadhramiyah)Maghrib - Isya di Masjid Wan Alwi, Tabuan.
- Pengajian Fiqh (Ustaz Syed Izzudin, Kitab Idaman Penuntut) Maghrib-Isya di Masjid Taman Surabaya Indah.

Selasa :
- Pengajian Tauhid (Ustaz Syed Izzudin, kitab Sulaman Tauhid) Maghrib- Isya di Masjid Taman Surabaya Indah.

Rabu :
- Pengajian Fiqh bab solat (Ustaz Azri, kitab Munyatul Musolli) Maghrib-Isya di surau Kpg Panglima Seman.

Khamis : 
- Majlis Ratib Al-Attas & Asmaul Husna (Ustaz Syed Mohamad Bin Alwi) Selepas Maghrib di Madrasah al-Khairat No. 70, Jln Champaka, Kpg. Pinang Jawa, Gita.
- Majlis Maulid (Ustaz Syed Izzudin) Selepas Maghrib di Ribath Raudhatul Mustafa, Kpg Selang Ulu.

Jumaat : 
- Pengajian Fiqh (Ustaz Azri, Kitab Sabilal Muhtadin) Maghrib - Isya di Surau Kpg Panglima Seman.

Sabtu :
- Pengajian Tasawuf (Ustaz Syed Izzudin, Kitab Hikam) Kuliah Dhuha Jam 9 Pagi di Masjid at-Taqwa, Gita.

p/s : kalau tidak dapat ikut semua, jangan tinggal semua..~

Pengajian Intensif Kitab Tauhid, September 2012

$
0
0
Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat serta ahli keluarga baginda, dan orang-orang yang ikhlas lagi benar menuntun jalan yang ditunjukinya sehinggalah pada Hari Kiamat kelak.

Tiga cabang ilmu asas seorang Islam, iaitu ilmu Fardhu 'Ain yang wajib dipelajari adalah ilmu Tauhid, Syariat (Fekah) dan Tasawuf (Akhlak). Namun demikian, ilmu Farhu 'Ain yang terpenting adalah ilmu Tauhid. Ini kerana ilmu tersebut merupakan tonggak kepada mengenal Sang Pencipta alam ini, iaitu Allah S.W.T. Juga, ilmu ini akan membersihkan kita daripada mengenal Allah daripada perkara yang tidak layak bagi-Nya. Jika salah akidah kita, maka ibadah kita turut tertolak. Jika akidah dan ibadah kita tertolak, bagaimanakah keadaan kita di alam Akhirat kelak? Tentunya dalam kesusahan.

Insya-Allah pada setiap Isnin dan Selasa malam sepanjang September ini, anda berpeluang untuk mengambil manfaat ilmu tersebut daripada program  Pengajian Intensif Kitab Tauhid  yang diadakan seperti berikut:


Hari: Isnin dan SelasaMasa: 8.00 - 9.30 malam                                                           Tempat: Dewan Syarahan YADIM, Kuching                                                                           Kitab: Sulamun Tauhid
Pengajian akan disampaikan oleh Ustaz Iman Daud, beliau bakal melanjutkan pengajian ke Ribat Huraidhah, Hadhramaut, di negara Yaman pada bulan Oktober kelak. 

Kitab Sulamun Tauhid ini adalah kitab akidah bertulisan jawi yang menghuraikan pokok persoalan ilmu akidah yang berlandaskan sistem yang telah dikupas dan disimpulkan oleh para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Pelajaran yang terkandung dalamnya merangkumi hal-hal Ilahiyyat (Ketuhanan, Sifat 20), Nubuwwat (hal-hal kenabian)  dan hal-hal Sam'iyyat (hal-hal ghaib seperti alam Akhirat yang perlu Muslimin imani). Menurut guru kami, Habib Izzuddin al-Idrus dalam menghuraikan kitab ini, beliau mengatakan bahawa kitab ini merupakan rumusan kepada kitab-kitab lama yang menggunakan huraian bahasa separa klasik. Justeru, agak mudah untuk memahami dengan penjelasan daripada guru. 

Marilah kita luangkan masa untuk akhirat kita. Jika kita sanggup berhempas pulas membanting tulang bahkan bertarung nyawa untuk mendapatkan makanan jasmani kita, begitu juga rohani dan akal kita menuntut kesanggupan yang lebih daripada itu.

Moga ada manfaatnya... amiin...

Wassalam

Krisis Kewangan Greece: Pengamatan Ringkas Sejarah

$
0
0


“In Greece it is spoken that after Greece break off from European Union, only Turkey could rescue them. Even radical nationalist Greeks talk about togetherness. Circumstances have made a great change. The declaration of independence from Ottoman Empire in 25 March 1821 means the beginning of the dawnfall rather than freedom.”~ Prof. Dr. Dimitri Kitsikis

Ada benarnya kenyataan kontroversi seorang sejarawan Yunani, Prof. Dr.Dimitri Kitsikis. ‘Merdeka’nya Greece daripada lingkungan Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1821 merupakan permulaan kepada kejatuhannya daripada dianggapnya kebebasan.

Baharu tadi menjengah Berita Dunia TV jam 11.00 malam. Dikatakan, ibukota Greece, Athens hampir-hampir lumpuh pada hari ini kerana mogok besar-besaran dilancarkan. Lapangan terbang lengang kerana tiada pekerja yang menguruskan operasi. Jadual penerbangan banyak yang terpaksa dibatalkan. 


 Lebih memburukkan lagi, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas juga tidak berfungsi sepertimana normal. Akan tetapi, seseorang yang berada di Athens menyaksikan perhimpunan besar-besaran di jalanan. 

Krisis tersebut telah memakan masa yang lama tanpa penyelesaian konkrit daripada saudara serumpunnya sendiri, Eropah. Krisis hutangnya bertambah parah dari sehari ke sehari, membingungkan rakyatnya apakah nasib mereka melarat di negara sendiri. 


Apakah yang telah terjadi?

Semenjak beberapa tahun ini, Greece mengalami krisis ekonomi yang amat dahsyat. Bahkan, Kesatuan Euro pun tidak dapat bertindak dengan pantas dan berkesan. Dilaporkan, kemelesetan ekonomi yang menghimpit adalah kerana hutang yang banyak. Taraf pengangguran begitu tinggi dengan kadar 1 daripada 4 orang Greece menganggur. Keadaan yang rumit ini bakal mengundang bahana kepada negara-negara EU miskin yang lain sekiranya langkah tetap menjadi buntu.


Melihat kepada masalah kronik yang melanda negara miskin itu, saya terkenangkan, Greece ataupun Yunani pernah bernaung di bawah sebuah kekuasaan Islam yang agung, iaitu Daulah Uthmaniyyah. Bagaimanakah nasib Greece seandainya mereka tidak ‘memerdekakan’ diri suatu masa dahulu daripada Daulah Uthmaniyyah? 


Harmoni... Kota Athens ketika era Daulah Uthmaniyyah
Berkenaan dengan ini, saya tertarik dengan fakta berkenaan pendirian memetik pandangan kontroversi seorang ilmuan sejarah Yunani yang bernama Prof. Dr. Dimitri Kitsikis dalam ruangan facebook Ottoman History Pictures Archive. Fakta tersebut yang menerangkan hakikat sebenarnya ‘kemerdekaan’ Greece daripada Daulah Uthmaniyyah tidak wajar berlaku pada suatu masa dahulu. Sejarah mencatatkan bahawa keharmonian yang tiada tara bandingnya dengan tamadun dan kebudayaan lain.
Orang Yunani yang memeluk Islam di dalam sebuah masjid


Kenyataan hangat beliau telah mencetuskan kontroversi di kalangan sejarawan, bahawa pemerintahann Ottoman (Daulah Uthmaniyyah) tidak pernah merupakan ‘400 tahun perhambaan.’ 

Beliau mempertahankan pendirian tersebut menyatakan bahawa kebudayaan Greek tidak diperbudakkan, bahkan berkembang dengan bebas dan menyumbang kepada sejarah amnya.




Pendapat Prof. Kitsikis juga menyatakan, bahawa kewujudan ‘Empayar Uthmaniyyah’ yang bersifat non-kolonial (penjajah yang menerapkan atau ‘memaksa’ penduduknya tunduk), serta mutinasional adalah perkara pokok yang perlu wujud dan dipertahankan walaupun dalam selang waktu yang panjang sekalipun. 

Cita-cita beliau, remaja Turki dan Yunani dapat membaca buku sejarah yang sama pada suatu hari kelak. Prof. Kitsikis membidas bahawa ‘400 tahun perhambaan.’ Menjadi harapannya sejak 50 tahun, kedua-dua bangsa dapat bersatu lagi seperti mana dahulunya.





Setelah hampir 200 tahun berlalu, ada suara yang mewar-warkan Greece kembali bersama Turki. Kenyataan menarik ini telah disebut oleh Prof. Kitsikis pada awal artikel ini, menyatakan bahawa pada saat-saat Greece bercakap tentang keluar daripada EU, Turki adalah harapan menyelamatkannya daripada jurang kemuflisan.



Apakah yang berlaku selepas ini? Adakah EU berjaya memulihkan krisis kewangan terburuk dalam sejarah mereka? Ataupun sekali lagi Turki membebaskan Greece buat kali kedua? 

[KAFA] Rasul Ulul Azmi

$
0
0

*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran dan nasihat daripada ustaz-ustazah / sahabat-sahabat yang alim dan berpengalaman. 

Rasul Ulul Azmi ialah rasul yang mendapat ujian yang hebat daripada Allah, terutama daripada kaum mereka. Terdapat 5 rasul Ulul Azmi daripada 25 Rasul, iaitu Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w.


Nabi Nuh a.s.
Rasul Ulul Azmi terawal ialah Nabi Nuh a.s. Baginda merupakan manusia yang paling panjang umurnya, iaitu sekitar 950 tahun. Baginda menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah, kerana mereka menyembah berhala. Selama beberapa ratus tahun baginda menyeru, hanya sedikit sahaja orang yang beriman. Antaranya ialah anaknya sendiri. Allah memerintahkan agar Nabi Nuh a.s membuat sebuah bahtera, iaitu kapal yang besar. Setelah siap, Allah memerintahkan langit menurunkan hujan sehingga banjir besar berlaku. Kesemua orang beriman menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. Anaknya terus berdegil dan mendaki gunung untuk menyelamatkan diri. Akhirnya anaknya tenggelam di dalam air. Setelah beberapa ketika, banjir pun surut dan bahtera Nabi Nuh a.s terdampar di sebuah bukit yang digelar Bukit Judi.

Nabi Ibrahim a.s.
Rasul Ulul Azmi kedua ialah Nabi Ibrahim a.s. Baginda dikenali sebagai bapa sekalian nabi dan rasul. Baginda mempunyai dua orang anak yang juga dilantik sebagai rasul, iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Baginda menyeru kaumnya dan Raja Namrud agar beriman kepada Allah. Ini kerana Raja Namrud seorang raja yang zalim dan mengaku diri sebagai tuhan. Raja Namrud amat murka kepada Nabi Ibrahim a.s., lalu menyediakan unggun api yang besar. Nabi Ibrahim a.s telah dicampakkan ke dalam api, tetapi Allah menjadikan api tersebut menjadi sejuk. Ini merupakan salah satu mukjizat Nabi Ibrahim a.s.


Nabi Musa a.s.
Rasul Ulul Azmi yang ketiga ialah Nabi Musa a.s. Baginda merupakan seorang rasul daripada kaum Bani Israil, di negara Mesir yang diperintah oleh seorang raja yang digelar sebagai firaun. Ia seorang yang zalim dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Pada suatu malam, firaun telah bermimpi bahawa seorang bayi lelaki akan lahir yang akan menjatuhkan kekuasaannya.

Akhirnya, firaun memerintahkan semua bayi lelaki dibunuh. Pada masa itu adalah kelahiran Nabi Musa a.s. Kerana bimbang keselamatan Nabi Musa, ibunya menghanyutkan baginda di sungai Nil dan terdampar di istana firaun. Asiah, isteri firaun telah menemuinya dan memujuk firaun agar tidak membunuhnya. Nabi Musa .a.s dibesarkan di istana firaun. Setelah Nabi Musa tidak sengaja terbunuh seorang bangsa Mesir, baginda melarikan diri ke negeri Madyan, tempat Nabi Syuaib tinggal. Baginda tinggal di sana selama 10 tahun dan berkahwin dengan anak Nabi Syuaib.

Nabi Musa a.s dilantik sebagai rasul di Bukit Tursina. Allah memerintahkan baginda agar Nabi Musa menyeru firaun agar beriman kepada Allah. Allah memberikan Nabi Musa mukjizat tongkatnya menjadi ular dan tangannya bercahaya warna putih. Akhirnya, Nabi Musa a.s memimpin kaum Bani Israil menyeberangi Laut Merah yang terbelah dua. Mereka terselamat dan firaun serta tenteranya tenggelam di dalam laut.


Nabi Isa a.s.
Rasul Ulul Azmi keempat ialah Nabi Isa a.s. Baginda adalah seorang rasul daripada bangsa Bani Israil. Baginda telah dilahirkan oleh ibunya yang bernama Maryam tanpa bapa, dengan izin dan kuasa Allah. Baginda menyeru kaum Bani Israil agar kembali beriman kepada Allah. Baginda mempunyai mukjizat, iaitu keajaiban yang diberikan oleh Allah sebagai bukti baginda adalah sorang Rasul Allah. 

Mukjizat-mukjizat tersebut adalah seperti menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang buta dan penyakit sopak, serta menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah dengan izin Allah. Baginda diberikan kitab Injil sebagai pedoman orang beriman. Akan tetapi, terdapat orang Bani Israil yang dengki kepadanya. Akhirnya, baginda dijatuhi hukuman disalib oleh kerajaan Rom, tetapi Allah telah mengangkat baginda ke langit. Baginda akan turun ke dunia pada Akhir Zaman kelak.

Nabi Muhammad s.a.w
Rasul Ulul Azmi terakhir dan teragung ialah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah penghulu segala rasul akhir zaman yang menutup sekalian nabi dan rasul. Tidak ada lagi nabi dan rasul diutus selepas baginda. Baginda dilahirkan daripada bangsa Arab Quraisy. 

Baginda menyeru kaumnya agar kembali beriman kepada Allah selama 23 tahun. Baginda diberikan banyak mukjizat, seperti membelah bulan, keluar air daripada jarinya dan dilindungi awan. Namun demikian, mukjizat baginda yang teragung ialah kitab al-Quran yang merupakan panduan umatnya. Kita sebagai orang Islam wajib beriman kepada baginda dengan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna baginda telah bawa untuk umat Akhir Zaman. 


NOTA: Eksperimen menggunakan metod ini kurang berkesan. Ini kerana, ada di kalangan murid-murid Tahun 2 yang masih mengeja (belum lancar membaca). Mungkin juga, artikel ini agak panjang untuk umur mereka. Teknik bercerita lisan masih berkesan.

BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH

$
0
0
 ALHAMDULILLAH, ZULHIJJAH DATANG LAGI…. 
“BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH”

*Artikel ini merupakan petikan dari Buletin AsSofa keluaran Oktober 2011/Zulhijjah 1432, tulisan Syeikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Ahmadi, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Artikel ini bersumber daripada sahabat saya sdr. Hisyamuddin bin Roslan yang 'post' perkara ini dalam komuniti facebook 'Miri Muslim Youth':


Alhamdulillah, dengan ‘Inayah dan Ri’ayah Allah pastinya, maka hari ini kita dikurniakan lagi untuk kesekian kalinya nikmat yang besar erti dan fadhilatnya iaitu bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah bukanlah bulan untuk Tetamu Allah sahaja, tetapi ia merupakan bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang prihatin dengan masa-masa yang dimuliakan Allah dan bijak mengambil peluang. Sesungguhnya pada setiap kejadian Allah itu mempunyai benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya. Di antaranya ialah Ka’abah, Hajar al-Aswad, Zam-zam, bulan Ramadhan, hari Jumaat, sepuluh terawal bulan Zulhijjah, Makkah, Madinah, Baitul Maqdis, Para Nabi, Rasul dan sebagainya. 

Kesemua perkara tersebut merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firmanNya :

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah”

Dalam bulan Zulhijjah, terdapat masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah, iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, ‘Idul Adha dan Hari Tasyriq. Sesungguhnya, Allah telah bersumpah dengan fajar ‘Idul Adha dan 10 terawal bulan Zulhijjah. Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut, sebagaimana firmanNya: 


“ Demi waktu fajar ‘Idul Adha; dan malam sepuluh Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain. Banyak hadith yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya. Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Tidak ada dari hari-hari, yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Dan tidak juga berjihad fisabilillah(lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini?” Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak juga berjihad fisabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid.”
Ulama’ berdalilkan hadith ini bagi menunjukkan kepada galakan atau sunat berpuasa pada Sembilan hari daripada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz ibnu Hajar radiAllahu ‘anhu. 

Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam juga bersabda :
“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang Sembilan) menyamai puasa seribu hari dan sehari puasa pada Arafah menyamai puasa 10,000 hari.”
Daripada Abu Hurairah radiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda : 


“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar.”
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan qurban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya iaitu dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban. Hal ini berdsarkan hadith Ummu Salamah, bahawa Nabi sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :


“Apabila masuk hari yang sepuluh Zulhijjah, dan seseorang dari kamu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun.”

Di dalam satu riwayat :

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berqurban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya.”


Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu pemerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadith ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredhai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun alaman yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan. Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihiNya.

Insya-Allah, mari beramal! ;)


Dia Duduk di Tangga

$
0
0



Hari Raya Idul Adha 1433H,
Miri

Ketika di rumah saudara, permata hati kami Fatimah az-Zahra' sedang menikmati sarapan paginya. Sekembali dari dapur mengambil air, ayahnya kehairanan, salah seorang saudaranya termenung di kaki tangga. 

Dia menegur, "Peliknya, kenapa abang duduk di tangga? Duduklah di sana sekali." Si Ayah menunjuk ke arah sofa ruang tamu.

Balasnya, "Saya lebih tenang duduk di sini."

"Malas mahu dengar cerita politik?"

"Begitulah. Yang di sana, pembangkang. Di sini kerajaan. Malas mahu bergaduh. Baru tadi kita membaca surah Yaasiin, bertahlil dan berdoa sama-sama. Tidak baik kita bergaduh selepas berdoa."

Dalam hati, Si Ayah tadi mengeluh. Ya, kalau yang 'di sana' berjumpa, memang tidak terlepas gosip-gosip sensasi yang tiada hujung pangkal, bahkan mereka tidak pernah terlibat pun sama sekali. 


Cerita yang diolah begitu mengujakan. Dan tentunya penuh emosi. Seringkali juga, akan terkeluar aib-aib manusia yang mereka benci. Entah benar yang mereka baca. Selalu juga terselit episod-episod lucu yang mereka reka dengan kreatif sekali.

Telinga Si Ayah seakan-akan tuli. Ia mendengar, tetapi hatinya ditutup. Tidak lebih berulang-ulang benda yang sama. Kebencian yang sama. Kemarahan yang sama. Caci-maki yang sama.  Di manakah hujungnya cerita? Tidak akan ada penghujung baginya. Baiklah coretkan idea untuk karya baru.

Ya Allah, jauhilah kami daripada fitnah, mendengar fitnah, merapati fitnah dan penyebar fitnah! Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa menyelusuri contoh kekasih-Mu Sayyiduna Muhammad s.a.w!

                           

Teringat kata-kata Habib Izzuddin al-Idrus, dalam menyentuh sedutan kehidupan ini. Adakah ada walaupun satu dalil bahawa suatu ketika Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w membalas orang yang memusuhinya dengan caci maki, umpatan, mengadu domba, cakap belakang ataupun fitnah?

TIDAK ADA SATU PUN.

Bahkan, baginda Nabi Muhammad s.a.w. membalas dengan senyuman, adab dan hikmah. Jiwa besar baginda s.a.w. inilah contoh terpuji yang wajib kita teladani dalam kehidupan yang serba-serbi digelumuri nafsu. 

Pesan beliau lagi, jikalau kita berada di dalam satu majlis yang ada dalamnya menimbulkan aib orang lain, maka wajiblah kita berangkat pergi. Ini kerana sesorang yang sengaja mendengar fitnah, dosanya adalah setara dengan orang yang memfitnah. Ada benarnya tindakan Si Saudara duduk di tangga.

Oleh itu, siapakah yang kita ikut? 

Fikir sebelum cakap. Bukan cakap baru fikir. Fikir-fikirkan.  


"Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu"

Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah, Kuching

$
0
0
                                         
Hebahan program pengjaian agama, iaitu pengajian Kitab Bidayatul Hidayah (Imam al-Ghazali r.a) bersama Al-Fadhil Ustaz Syed Ahmadzaimi bin Syed Wan Kamaludin Al-Aidarus. Program adalah seperti berikut:

Tarikh: Bermula 2 November 2012, Jumaat
Masa : 8.30 malam
Tempat: YADIM Zon Sarawak, Jalan Astana Petra Jaya (berdekatan Masjid Darul Abidin & lampu isyarat Astana)

Kitab Bidayatul Hidayah yang
diterjemahkan oleh Syeikh  Ahmad
Fahmi Zam Zam al-Banjari al-Maliki
Kitab Bidayatul Hidayah yang bermaksud 'Permulaan kepada Hidayah' merupakan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w. 505H / 1111M). Kitab ini merupakan kitab pengenalan akhlak-akhlak seorang Muslim sebelum melangkah lebih jauh dalam mendalami ajaran yang Islam yang disusun oleh Imam al-Ghazali, terutama kitab Ihya' Ulumuddin. 

Sesungguhnya seorang Islam wajib menuntut ilmu Fardhu Ain sehinggalah selesai baginya, mencukupi baginya sebagai seorang Islam. Ilmu Fardhu Ain ini merangkumi tiga rangkai ilmu, iaitu ilmu Aqidah, ilmu Syariat (hukum-hakam) dan ilmu Tasawuf (akhlak). Dengan kesempurnaan ketiga-tiga cabang ilmu ini bagi seseorang Muslim, insya-Allah mampu melahirkan umat Islam yang teguh, sebagaimana generasi yang telah dilahirkan oleh Imam al-Ghazali 100 tahun selepas kewafatannya, iaitu Generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Wallahu'alam. Pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran tuan / puan / adik-adik bersama-sama mendalami ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu agama Allah yang luhur ini. 

Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya, insya-Allah.

Rakaman Minggu 1 & 2 Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah

$
0
0
Berikut adalah rakaman kuliah pengajian syarah (huraian) kitab Bidayatul Hidayah oleh Ustaz syed Ahmadzaimi bin Syed Kamaludin al-Aidarus yang diadakan secara berkala pada setiap Jumaat malam di Dewan Syarahan YADIM Zon Sarawak. Bangunan dewan tersebut terletak berdekatan simpang lampu isyarat di Astana, Kuching

Video ini merupakan rakaman minggu pertama dan kedua pengajian. 

Anda boleh menghubungi Ustaz Akhie Zamri untuk makluman lanjut



Kemaskini Terbaru Entri Saifai Islami

$
0
0
Alhamdulillah, blog Saifai Islami telah dikemaskini:


Remember November the 5th... V for Vendetta


Melihat kembali filem futuristik V for Vendetta yang berkisar mengenai seorang revolusioner yang bergelar 'V' melunaskan dendam terhadap para musuhnya. Ketika itu England dikuasai oleh kerajaan autokratik (kuku besi) sekitar tahun 2030. V merupakan seorang hero anarkis yang berprinsip matlamat menghalalkan cara. Sejauh mana revolusinya berjaya?

Dan


Wajah Amerika dalam Starcraft


Apabila disingkap wajah sebenar Starcraft, tidak lain dan tidak bukan terpampang wajah sebenarnya... iaitu jatidiri, peribadi dan sejarah bangsa Amerika. Sejauh manakah kita sedar tentang perkara ini?

Mereka Insan Istiqamah...

$
0
0
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan)
Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru Ahlul Bait inilah yang paling konsisten di jalan dakwah di Bumi Sarawak amnya, di Kuching khususnya. Ada atau tidak ada orang yang membantu, mereka tetap menggalas amanah dakwah moyang mereka Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Perjalanan mereka tampak sepi tanpa ada yang menemani. Jika di Kuching, antara yang dikenalli di kalangan mereka adalah Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus dan Habib Mustafa al-Haddad.

Mereka meneruskan amanah tanpa jemu; dengan mendidik anak-anak murid mereka akan adab-adab husnu zhan (bersangka baik) dan mahabbah (kecintaan dan kerinduan mendalam) akan Rasulullah s.a.w. Perjalanan dakwah berliku mereka ditempuh dengan kesabaran biarpun berpuluh-puluh tahun berjalan sendirian.

Barisan anak-anak muda di Madarasah al-Khairat
bersama mudirnya, Habib Mohamad al-Attas ketika Ramah Tamah Idulfitri 1433H

Teringat kata-kata Habib Mohamad al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching, beliau bergurau melihat ramai anak muda yang menawarkan khidmat kepada beliau, "Setelah 30 tahun barulah Allah tunaikan hantar anak-anak muda kepada saya untuk gerakkan dakwah."


Bersama juga, al-Fadhil
Ustaz Muhadir bin Joll (memegang kitab)
Jika dilihat secara zahir, mungkin mereka dipandang sebelah mata seperti pendidik biasa. Ya, mereka lebih suka merendah diri. Akan tetapi tugas mereka amat signifikan dalam dakwah di Bumi Sarawak. Ada orang berdakwah sasarannya bilangan orang yang mengimarahkan masjid. Ada orang berdakwah dinilai tampaknya aktiviti yang dibuat. Ada juga dianggap berdakwah dengan berpidato berapi-api. Ya, tidak salah semua metod tersebut. Tetapi penghargaan selayaknya harus ditujukan kepada mereka.

Mungkin kerana senyapnya dakwah mereka, tanpa kita sedar sasaran dakwah mereka adalah mencetak para ulama. Mereka menyediakan pancang-pancang pendidik umat suatu hari kelak. Asas yang mereka bina bukanlah calang-calang kerja. Mereka meneruskan kerja para ulama yang mencetak para ulama juga. Dan para ulama inilah yang membina generasi dari bawah. Biarpun memakan masa yang lama, insya-Allah dengan izin Allah, lama-kelamaan satu masyarakat belajar (learning society) yang beradab mulia akan terbina kelak. 


Daripada Blog Teh Secawan
Mereka inilah yang memimpin akal dan rohani masyarakat agar setiap pekerjaan adalah dalam lingkungan taqwa, iaitu menyempurnakan ketaatan kepada Allah dan Rasul.   

Berhari Raya Idulfitri 1433H di kediaman Habib Izzuddin al-Idrus
Saya melihat sendiri, betapa tingginya kesabaran para guru ini. Selayaknya digelar ulama. Para guru mereka bukanlah sembarangan orang. Dan usaha mereka juga bukan calang-calang. Ada di kalangan membina madrasah sudah selama puluhan tahun, dalam keadaan serba kekurangan. Dan hasilnya kini, gelombang demi gelombang anak-anak muda menyerahkan dirinya menuntut ilmu, agar sekembalinya mereka, menyambung mata rantai dakwah para guru mereka.

Habib Izzuddin al-Idrus menghantar adik dan anak murid (berkot), sdr. Iman Daud.
Beliau melanjutkan pengajian agama bersama para ulama Hadhramaut, Yaman.
Keberangkatan beliau diiringi oleh teman-teman sepengajian.
Apa yang mereka lakukan kini, adalah sama sepertimana usaha Imam al-Ghazali rahimahullah suatu ketika dahulu. Meskipun beliau dikritik kerana tidak terlibat dalam perubahan yang cepat, seperti perubahan politik ataupun berjuang di medan jihad, beliau tetap istiqamah terhadap pendiriannya. Beliau menyusun kembali, bermula daripada pelurusan tentang fikiran masyarakat melalui ilmu yang benar, paduan antara syariat dan hakikat. Beliau mencetak para ulama. Dan ulama ini mencetak lagi generasi ulama seterusnya, sehinggalah melahirkan antara tokoh ulama sufi terkemuka, Syeikh Abdul Qadir Jailani rahimahullah yang mendidik generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi... 

Anak-anak muda berqosidah, berhibur sambil berzikir, berselawat dan berdoa.
Inilah salah satu jalan mahabbah kepada Rasulullah s.a.w
Kita doakan semoga Allah meneguhkan dakwah para guru Ahlul Bait ini (Habib Mohamad al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus, Habib Mustafa al-Haddad, dan yang tidak disebutkan), mengampuni dan menunjuki mereka, dan membawa lebih ramai umat ini terutama anak muda mengambil manfaat daripada mereka... 



Mereka insan istiqamah...



Masjid Nabawi... Tanamlah azam untuk menziarahi Sayyidina Rasulullah s.a.w...
                                  
Dan tidak dilupakan, buat para guru serta aktivis dakwah yang menabur jasa di Bumi Kenyalang ini. Kalian adalah penyebar cahaya kalimah tauhid, Laa ila ha illallah, Muhammadurrasulullah (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah)...

Mohon tersilap kata dan bahasa...




Wassalam...


NOTA: 


1. Habib Mohamad bin Alwi al-Attas merupakan mudir kepada Madrasah al-Khairat,  di Kpg. Pinang JAwa, Gita', Kuching. Madrasah beliau menyediakan asas Bahasa Arab dan agama bagi menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Pelajar lepasan SPM yang amat berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama amat digalakkan walaupun tiada asas Bahasa Arab untuk menyertai Madrasah al-Khairat. Selanjutnya, mereka akan dihantar, khususnya ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama di sana. Beberapa kumpulan daripada anak-anak murid beliau telah berjaya melepasi STAM dan menuntut ilmu di sana.


2. Manakala Habib Izuddin al-Idrus merupakan mudir Rubat Raudhatul Mustofa di Kpg. Selang, Telaga Air, Kuching. Pelajar-pelajar beliau yang berkelayakan setelah melalui sistem pembelajaran secara talaqqi akan juga dihantar ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama.

Ter'sarapan' Bersama Anak

$
0
0

9 Muharram 1434H
7.20 pagi

Seorang insan baru sahaja 'mamai' masih dibuai kantuknya tidur. Tangannya menggapai sebiji botol air di hujung katil. Ujarnya, "Eh, sekarang sudah masuk waktu Subuh. Waktu sahur sudah lepas. Niat sahaja pun tidak apa. Asalkan tidak makan."

Fasa demi fasa waktu berlalu. Si insan tadi yang juga seorang ayah, apabila anaknya sudah bangun, turut juga sibuk bergilir tugas memerhati, melayan dan menjaga anak. Dalam perhatiannya kepada anak mereka yang berusia 9 bulan Fatimah az-Zahra', tiba-tiba Si Isteri bertanya, "Abang mahu minum apa?"

"Teh," jawabnya dengan spontan.

Maka bersarapanlah keluarga kecil ini. Fikiran Si Ayah tertumpu kepada puterinya. Ini kerana Fatimah adalah seorang yang sangat aktif, jika 'enjin sudah panas.' 
                                     
Ia memprotes untuk keluar daripada kerusi bayi jika tidak disuap dengan makanan ataupun minuman. Si Ibu sedang berkejaran dengan masa untuk menghabiskan sarapan tepat pada masanya. Maka Si Ayah tadilah yang melayan anaknya. Sekali suap cebisan roti yang dicelup air, sebiji roti ditelan Si Ayah. Sehinggalah habis semuanya.

8.20 pagi

                         
"Fatimah, mari makan!" Si Puteri ingin makan lagi. Si Ayah menyuap lagi biskut Farley lembut ke dalam lelangit puterinya. Tertinggal di jari Si Ayah, lebihan biskut itu masih terlekat. Lantas, Si Ayah pun merasakan juadah puterinya di hujung lidah.

Tiba-tiba ia teringat..... "Bukankah tadi aku berpuasa???"

Apakah nasib puasanya? Setelah kenyang tersarapan, adakah masih dikira 'tidak sengaja?' Fikir-fikirkan.

Jika anda tersarapan seperti Si Ayah, maka ada peluang untuk berpuasa sunat pada 11 Muharram. Ini kerana, sunnahnya seperti yang diamalkan oleh baginda Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w, Puasa Asyura 10 Muharram mestilah digandingkan dengan 9 atau 11 Muharram. Jika kaum Yahudi merayakan sehari sahaja pada 10 Muharram kerana kesyukuran terbebasnya daripada cengkaman Firaun, maka umat Islam, umat Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. adalah yang paling layak meraikannya, dengan lebih sehari.

                           


Puasa Asyura hanya sehari sekali setahun. Rebutlah ganjarannya. Selamat meraih redha Allah.... 

Selamat berpuasa... 

4 Langkah Istiqamah

$
0
0
                              

Satu keindahan sambutan hari lebaran pada bulan Syawal 1433H yang lepas adalah dilalui dengan suasana ilmu. Ketika keberadaan kami sekeluarga di Kuching pada tahun tersebut, syukur kepada Allah kami sempat menziarahi para guru bersama sahabat-sahabat. Gambarannya amat indah, tidak lekang kami yang bertandang mendengar kata-kata hikmah berharga daripada mereka.

Destinasi pertama:
Menziarahi Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaludin al-Aidrus
(Habib Izzudin)
Salah satu destinasinya adalah berhari raya bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Beliau merupakan seorang pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menyandang sebagai calon sarjana falsafah di Universiti Malaya. Selain daripada sering muncul di corong radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (ikim.fm), beliau merupakan seorang penulis profilik yang produktif dalam menjelaskan kefahaman agama Islam yang benar untuk tatapan masyarakat.

Istimewanya kali ini kami dihidangkan dengan santapan ilmu daripada buku beliau, Solat Nabi s.a.w menurut Mazhab Syafie yang diterbitkan oleh Mawleed Publishing. Kami mendengar huraian demi huraian mengenai buku tersebut, walaupun hanya permukaan sahaja kerana kecemburuan waktu. Ah, indahnya hari raya kali ini!

Bersama sahabat-sahabat menziarahi
al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll

Ketika di penghujung ziarah kami, al-Fadhil Ustaz membuka ruang soal jawab. Satu soalan menarik daripada salah seorang daripada kami bertanya:

 “Ustaz, bagaimanakah caranya untuk kita istiqamah beramal? Kadang-kadang kita bersemangat. Selalu juga kita rasa ‘down’ (menurun) berat untuk beramal.”

al-Fadhil Ustaz menjawab, bahawa ada “empat jalan istiqamah untuk kita jaga.”  



  1. Sentiasa menghadiri majlis ilmu. Ini kerana majlis ilmu ini akan menghidupkan hati kita. Dengan mendekatkan diri kepada guru atau ulama akan mengingatkan kita akan Hari Akhirat. Menghadiri majlis ilmu akan menjadikan seseorang itu mendapat lindungan rahmat daripada Allah. Justeru, hal ini sangat berpengaruh dalam membentuk hati kita. 
  1. Berkawan denganrakan-rakan yang juga dalam suasana ilmu. Pendek kata, adanya rakan-rakan yang bersama ke majlis menuntut ilmu yang akan saling mengingatkan kita. Mereka ini menjadi cerminan kepada diri kita dalam membentuk akhlak kita. Teringat akan hadith Sayydina Nabi Muhammad s.a.w, bahawa kawan yang baik adalah umpama penjual minyak wangi. Jika tidak mendapat minyak wangi penjual itupun, kita sudah menghirup bau wangi tersebut.

  1. Sentiasa bererdoa kepada Allah agar sentiasa dalam keadaan istiqamah:
Allahummar zuqnal istiqamah
Ya Allah, rezekikan kami istiqamah (dalam amalan).

  1. Amalkan membaca riwayat ataupun cerita orang-orang yang soleh. Mereka ini di kalangan para nabi, terutamanya penghulu Anbiya’ Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya, para sahabat, ulama, penguasa, mujahid, ahli sufi dan orang-orang yang hampir kepada Allah. Membaca cerita hidup mereka membuahkan motivasi yang ampuh untuk kita mencontohi kesungguhan dan kecintaan yang indah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.
Kasihan Fatimah az-Zahra', terlena pada
Ustaz Iman Daud menanti
ayahnya menimba ilmu. 
Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ini, insya-Allah.

                        

                          

 Wallahu’alam.

Ulama Itu Bawa Senjata

$
0
0


Diceritakan oleh Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaludin al-Aidrus (dikenali juga sebagai Habib Izzudin al-Aidrus), pernah seorang ulama di Hadhramaut, negara Yaman yang bernama Habib Muhammad bin Soleh al-Attas difitnah membawa senjata. Beliau merupakan mudir (guru besar) salah sebuah daripada banyak madrasah (seperti pondok) yang bernama Rubat Huraidhah. 


Ketika beliau memandu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat sekatan jalan raya. Ketua mereka mengarahkan supaya keretanya diperiksa bagi menyiasat dakwaan pihak yang berkepentingan. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami mendengar kamu membawa senjata. Di manakah senjata kamu?” askar itu menggertak.

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh
di Kpg. Segubang, Bau, Sarawak, 2010

Habib Muhammad bin Soleh al-Attas adalah seorang yang berwarakan tenang sahaja. Beliau menjawab ringkas, “ad-Du’a (Doa).”

Kata askar itu, “Apa? Di mana senjata kamu?” Sekali lagi tuan Habib digertak. Ia menjawab lagi, “Doa.”

“Di mana senjata kamu!” askar itu semakin kurang sabar. Jawabnya lagi, “Doa.”

 “Ah, sudahlah!” Keberangan, askar itu melepaskan ia pergi. Beliau tidak berbohong. Kalau senjata api, memanglah tiada. Tetapi beliau ada 'senjata' yang lain. Daripada kitab Sairus Salikin yang dikarang oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani rahimahullah (w. 1246H / 1830M) disebutkan hadith Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w (m/s. 607):

"Doa itu senjata mukmin dan tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi." (Riwayat Hakim)

Ulama merupakan waris kepada anbiya’ (para Nabi). Maka ulama dengan ketinggian ilmu yang mereka miliki, mencerminkan akhlak yang tinggi. Lihatlah, mereka tenang sahaja menghadapi fitnah dan membalasnya dengan ilmu dan hikmah. Dirinya dikenali sebagai seorang yang tawaduk, mengasihi anak-anak muridnya. Pernah diceritakan oleh sahabat-sahabat kami, beliau memeriksa keretanya sendiri dan memandu sendiri. Jika ada anak muridnya yang kurang sihat, beliau sendiri yang hadir menziarahi mereka. Semoga Allah merahmati beliau dan perjuangannya.

Dua ulama...Habib Muhammad bin Soleh al-Attas (kanan)
dan Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir
Madrasah al-Khairat, Kuching ketika program dakwah di
Kpg. Segubang, Bau, Kuching, Sarawak.
Habib Muhammad bin Soleh al-Attas pernah berkunjung dalam ziarah dakwah beliau di negara ini. Syukur kepada Allah, dengan izin-Nya, beliau sempat bertandang ke Bumi Kenyalang pada tahun 2010. 

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di perkampungan saudara baru, Kpg. Segubang di Bau, Kuching, Sarawak pada Jun 2010. 
Dalam rangka lawatan singkat dakwah beliau, kami bersama sahabat berpeluang berkhidmat semampu yang boleh. Bukan selalu ada ulama, terutama sekali daripada jurai keturunan Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallamyang datang ke negeri kami ini.

Kenang-kenangan 2010... sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (Abang Syed, berkain pelikat hijau) yang sekarang melanjutkan pelajaran agama di Rubat Huraidhah.
Syukur kepada Allah, yang telah mengizinkan beberapa sahabat kami yang berpeluang untuk menimba ilmu secara bertalaqqi dan bersanad di madrasah beliau di Rubat Huraidhah. Semoga mereka diberikan kekuatan istiqamah meraih ilmu dan hikmah, agar dapat dibawakan kembali, terutama ke negeri kami yang ketandusan para ilmuan yang benar. 

Mudah-mudahan ada rezeki suatu hari kelak berazam ke sana merasai suasana ilmu dan ibadah. 

Habib Izzudin al-Aidrus bersama sahabat-sahabat mengiringi pemergian
Ustaz Iman Daud (dua dari kanan) berangkat ke Hadhramaut, Yaman untuk menimba ilmu
di Rubat Huraidhah bawah kendalian Habib Muhammad bin Soleh al-Attas.
Semoga Allah meneguhkan  Tuan Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dan sahaba-sahabat agar istqamah dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini... Amiin. 

[SI] Resensi Komik Star Wars: In the Empire's Service

$
0
0

Star Wars merupakan gergasi dalam lapangan fiksyen sains. Bahkan, pengarahnya George Lucas telah meletakkan fiksyen sains dengan lebih popular di layar perak. Meskipun sudah lebih tiga dekad diterbitkan, Star Wars kini menjadi fenomena fiksyen sains yang sudah bertapak kukuh. Bahkan, saga Star Wars akan terus berkembang dengan 'Expanded Universe.' 
Antara manifestasi perkembangan tersebut ialah melalui penerbitan komik. Saya telah mendapatkan satu naskhah Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire's Service pada 2010 yang lepas. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kajian tersebut dapat disambung semula. Nyata, kajian daripada cebisan karya tersebut, menunjukkan bahawa di sebalik cerita terkandung idea yang mempunyai 'complexity' yang mendalam hasil kajian pemikir Star Wars. 
 Komik tersebut berlatarbelakangkan 6 bulan setelah kematian Emperor Palpatine dan stesen tempur angkasa Galactic Empire, iaitu Death Star II. Skuadron X-Wing, Rogue Squadron mengasak wilayah Empire. Akan tetapi, mereka ditentang sengit oleh 181st Fighter Division yang dipimpin oleh Baron Soontir Fel. Walaubagaimanapun, pergelutan politik dalaman Empire memberi ruang bagi New Republic (daripada Rebel Alliance) untuk meluaskan pengaruh mereka.
 Kajian kecil saya ini mendapati bahawa banyak daripada elemen kapal angkasa Twin Ion Engine (TIE) milik Galactic Empire diadaptasi daripada sumber sejarah, khususnya sejarah Imperial Jepun dalam Perang Dunia II (1942-45).
Mitsubishi A6M5 Zero bersama juruterbang


Kajian tersebut dibahagikan kepada 4 bahagian, iaitu:


Telaah ini adalah hasil daripada penelitian sejak beberapa tahun, hanya 'titik-titik terpisah' itu bersambung dengan membaca komik tersebut. Kajian ini boleh dijadikan rujukan untuk membina teknik tersendiri dalam memperkasakan kualiti penulisan.

Diharapkan ada manfaatnya. Mohon segala salah dan silap. Kemanfaatan adalah daripada Allah. Kekurangan itu disandarkan kepada saya. 

Terima kasih. 

Malam Cinta Rasul 2013, Cheras

$
0
0

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda. Semoga Dia melimpahkan rahmat-Nya atas para sahabat, ulama muktabar dan orang-orang yang mengikuti jejak baginda sehingga Hari Kiamat.
Sumber: Facebook TV al-Hijrah
Subhanallah, satu fenomena yang amat sihat berlegar di negara ini. Gelombang cinta Rasul dikocakkan dengan dendangan qosidah, menembusi hati-hati manusia dengan cahaya selawat. Baru-baru ini, satu program Malam Cinta Rasul 2013 telah diadakan pada Rabu, 9 Januari 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur Cheras
Sumber: Facebook TV al-Hijrah
Dianggarkan, dalam lingkungan 10, 000 hadirin membanjiri stadium bersama-sama meluahkan rasa kecintaan, kerinduan, kehangatan kasih sayang terhadap sebaik-baik manusia, Penghulu Mutlak Dunia dan Akhirat, pemberi syafaat dan Sang Kekasih Allah, iaitu Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. 
                                   
Kesemuanya tidak dapat ditahan lagi diluahkan pada malam tersebut. Majlis maulid dan qosidah tersebut dipimpin oleh Habib Syech bin Abdul Qadir as-Seggaf, seorang ahli qosidah tersohor dari negara jiran, Indonesia. Turut yang hadir adalah seorang agamawan, Habib Ali Zianal Abidin, pembimbing Majlis Ta'lim Darul Murtadza. Program tersebut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
                                                   

Semoga majlis-majlis seperti ini kian subur di negara ini. Semoga bersemarak itu jugalah kecintaan kepada baginda Nabi s.a.w dengan bersungguh-sungguh menuntut ilmu mempelajari jalan lurus yang dibawanya daripada para ulama. Mereka inilah yang telah berkorban untuk merantaikan ilmu, hikmah dan keberkatan yang bersambungan kepada baginda s.a.w. Bersama kita tetapkan halatuju ini kepada kecintaan yang benar kepada baginda s.a.w dengan menuruti, mempertahan dan menyebarkan sunnah baginda s.a.w. Sesungguhnya, mencintai Nabi Muhammad s.a.w, bermakna mencintai Allah Jalla Jallaluh....

Semoga kekuatan umat ini kembali... dengan kembalinya janakuasa hebat mereka: mahabbah (cinta, rindu, kasih sayang) kepada Rasulullah s.a.w!

Berikut merupakan sedutan video program daripada youtube.com: Majlis Nurul Mustofa:


Allahumma solli wasallim wabarik 'alaih! 

Program Bedah Kitab Solat Nabi saw Menurut Mazhab Syafi'e, Kuching

$
0
0



Assalamu'alaikum...

Insya ALLAH Halaqah Kemajuan Islam (HIKAMS) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak akan mengadakan Program Bedah Kitab: "Solat Nabi SAW Menurut Mazhab Syafi'e" yang akan dikupas oleh anak jati Negeri Sarawak Darul Hana, al Fadhil Ustadz Muhadir Bin Hj Joll as Sanary, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan tokoh yang tidak asing lagi yang selalu ke udara menerusi radio IKIM dan TV alHijrah (bersama Syeikh Nuruddin), pengasuh Majlis Ta'lim An-Nur (UIA) dan juga kolumnis Majalah Q & A.

al Fadhil Ustadz Muhadir Bin Hj Joll as Sanary
Berikut ialah sedikit tentatif program tersebut (tertakluk kepada perubahan):

Tarikh : 9 Febuari 2013 (Hari Sabtu)
Tempat: Dewan Syarahan YADIM, Bangunan Shahnur, Jalan Astana
Masa : 9 pagi - 5:30 petang (terbahagi kepada beberapa slot)
Yuran : RM 50 [termasuk kitab, makanan dan hands out (jika ada)]

Pendaftaran boleh dibuat melalui saudara Khairul Anwar Shazali (013-895 0345) atau saudara Amirul (
 013 - 5681422) dan tempat terhad kepada 80 peserta sahaja. Insya ALLAH, al Fadhil Ustadz Muhadir selain mengupas kitab tersebut secara terperinci, beliau juga akan meriwayatkan Hadits Musalsal Bil Awwaliyyah, Hadits Musalsal Baca Ayatul Kursi dan Hadits Musalsal Membaca Surah al Hasyr di akhir program bedah kitab kelak. 

Jom pakat ramai-ramai kita pergi majlis 'ilmu yang merupakan taman-taman syurga dan memperbaiki kualiti solat kita kerana Junjungan kita yang mulia, Rasulullah s.a.a.w bersabda:

"Shollu kama ro'aitumuni usholli". (Solatlah kamu sebagaimana kamu melihatku solat) - Hadits riwayat al Bukhari

Bagaimana kita hendak belajar solat sedangkan kita tidak melihat Nabi s.a.a.w? Makanya, kita ambil ilmu itu dengan mempelajarinya daripada pewaris Baginda s.a.a.w iaitu para 'ulama, yang belajar dan meriwayatkan 'ilmu daripada gurunya, gurunya mengambil ilmu daripada guru kepada gurunya, berterusan sehingga ke generasi para keluarga dan sahabat rodhiyallahu ta'ala 'anhum ajma'iin, yang melihat dan meriwayatkan ilmu terus dari sumbernya ilmu Nabi kita Nabi Muhammad s.a.a.w.

Buku Solat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم Menurut Mazhab Syafi’e tulisan al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll ini pula menerangkan bahawa solat yang kita dirikan selama ini hakikatnya datang daripada bentuk solat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang telah diterangkan dengan lebih jelas oleh ulama’-ulama’ yang alim dalam empat mazhab terutama imam kita yakni Imam Syafi’e رضي الله عنه.

Justeru, hendaklah kita yakin bahawa sembahyang cara mazhab Syafi’e adalah mengikut sembahyang cara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Cara inilah yang telah dipelajari dan ditekuni oleh masyarakat Islam di negara ini yang bermazhab Syafi’e sejak zaman berzaman. Cara inilah yang telah dan sedang diajar, malah menjadi sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah (KAFA dan PAFA) di seluruh Malaysia, di pondok-pondok dan institusi pengajian, malah ia diajar dan dikupas dalam majlis-majlis ilmu di seluruh dunia yang bermazhab Syafi’e.

Didalam buku ini terdapat kata-kata aluan daripada tokoh-tokoh Islam seperti:

1) al 'Alim al 'Allamah al Faqih al Ushuli, Tuan Guru Haji Salleh bin Musa
Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Kedah

2) Tan Sri Sheikh Haji Ismail bin Muhammad
Imam Besar Masjid Negara

3) Ustaz Dr. Hj Luqman b Hj Abdullah (anak TG Hj Lah Lubuk Tapah)
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, merangkap Mudir, Madrasah Rahmaniah, Pondok Lubuk Tapah

4) Ustaz Hafiz Haji Mustafa Lubis
Maahad Tarbiah Islamiah Derang (MTID), Pokok Sena, Kedah

5) Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi
Pengarah Urusan, Mawleed Publishing Sdn. Bhd.

Sila sebar-sebarkan... mudah-mudahan bermanfaat....
Viewing all 97 articles
Browse latest View live